Tahukah anda bahawa alam semesta ini bermula dari satu kepulan asap?
Kini, ia telah dapat dibuktikan melalui pemerhatian ahli-ahli astronomi dan dianggap sebagai satu prinsip kosmologi moden. Mereka dapat memerhatikan pembentukan bintang-bintang baru melalui pemahaman bahawa bintang baru terbentuk daripada sisa-sisa asap yang terbentuk sejak alam ini dijadikan.
Dalil tentang kejadian alam semesta ini berpadanan dengan firman Allah di dalam Surah Fussilat ayat 11 yang bermaksud,"Kemudian Ia menunjukkan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap..."
Oleh kerana bumi dan isi-isi langit (matahari, bulan, bintang, planet, galaksi dan lain-lain) telah dibina dari 'asap' yang sama, ia boleh disimpulkan bahawa bumi dan langit adalah pada asalnya dari entiti yang saling berhubungan. Kemudian dari gumpalan 'asap' ini, ia membentuk jisim-jisim alam semesta dan terpisah antara satu sama lain. Allah S.W.T berfirman di dalam al-Quran:
"Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya?..."-Surah Al-Anbiya' ayat 30.
Kenyataan ini turut disokong oleh Profesor Alfred Kroner, seorang dari ahli geologi terkenal di dunia serta profesor di Jabatan Geosains, Universiti Mainz , Jerman. Dia berkata,
"Bila memikirkan dari mana Muhammad datang, saya rasa ia adalah hampir mustahil buat beliau (Nabi Muhammad S.A.W) boleh mengetahui sesuatu seperti asal kewujudan alam semesta. Ini kerana saintis hanya mengetahui perkara ini setelah kemajuan sains angkasa dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
"Seseorang yang tidak tahu tentang fizik nuklear empat belas kurun dahulu tidak boleh menaakul proses kejadian alam ini dari akalnya sendiri, misalnya mengatakan bahawa bumi dan langit mempunyai asal yang sama," tambah Profesor Alfred Kroner lagi.
No comments:
Post a Comment